PENGGUNAAN TENAGA SECARA LESTARI UNTUK SEMUA

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tahun 2012 sebagai Tahun Antarabangsa untuk Penggunaan Tenaga secara Lestari untuk Semua (2012:The International Year of Sustainable Energy for All).
"Tenaga Lestari" bermaksud tenaga yang dihasilkan dan digunakan dengan cara yang boleh menyokong pembangunan manusia dalam jangka panjang dan merangkumi dimensi sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Agensi Tenaga Antarabangsa meramalkan sekiranya tidak terdapat komitmen yang mencukupi di peringkat global, bilangan penduduk yang tidak mendapat kemudahan bekalan elektrik hanya akan jatuh secara perlahan daripada 1.4 bilion pada masa kepada 1.2 bilion pada 2030. Pada masa yang sama, kebimbangan tentang perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar telah menekankan kepentingan menggunakan bentuk-bentuk tenaga yang mampan sebagai matlamat jangka panjang.

Resolusi Perhimpunan Agung 65/151 telah menggesa Setiausaha Agung PBB supaya berunding dengan agensi-agensi bahagian tenaga di PBB untuk mengatur dan menyelaras aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dalam tahun 2012 dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menangani isu-isu berkenaan tenaga. Antara usaha tersebut ialah:

  • Menyediakan perkhidmatan tenaga yang moden untuk semua orang
  • Menyediakan akses kepada tenaga secara berpatutan
  • Mempraktikkan kecekapan tenaga
  • Kemampanan sumber tenaga 

SELAMATKAN BUMI KITA

Mitigasi dan adaptasi adalah dua istilah yang harus kita ketahui dalam menangani isu pemanasan global. Penggunaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti tenaga hidro, biomass, biogas dan solar bagi penjanaan kuasa sedang diberi penekanan lebih meluas sejajar dengan Dasar Lima Bahan Api negara ini yang dibentuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-Lapan dan sedang digalakkan dengan memberi lebih penekanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sembilan. Langkah ini adalah untuk mengurangkan penggantungan terhadap bahan api fosil seperti arang batu dan minyak mentah. Setiap orang boleh menyumbang sedikit sebanyak kepada pemuliharaan alam sekitar seperti berikut:

  • Jimatkan penggunaan tenaga di rumah dan di pejabat, padamkan lampu dan alat-alat elektronik seperti televisyen, komputer dan alat pencetak yang tidak mustahak. Penggunaan mod standby akan meningkatkan penggunaan bekalan elektrik sebanyak 5-13%. 
  • Amalkan pengitaran semula. Dalam pengurusan sisa pepejal, sentiasa ingatkan tafsir 3R, iaitu Reduce (Kurangkan),  Reuse (Guna semula) dan Recycle (Kitar semula). Asingkan bahan boleh dikitar semula daripada sampah-sarap yang lain supaya sisa pepejal yang perlu dihantar ke tempat pembuangan boleh dikurangkan.
  • Kurangkan penggunaan beg plastik kerana ia memakan masa yang lama untuk dibiodegradasi. 
  • Sentiasa menggunakan bekas makanan yang boleh dicuci, elakkan bekas polistirena.

SURIA TENAGA ALTERNATIF

Sebanyak 59 peratus daripada 2,051 responden mahu kerajaan menjadikan tenaga suria sebagai sumber tenaga alternatif, berbanding 23 peratus memilih tenaga nuklear. 1,207 atau 59 peratus responden memberi maklum balas menyokong penggunaan tenaga suria, diikuti tenaga nuklear sebanyak 23 peratus atau 467 orang, tenaga biojisim 12 peratus (261) dan tenaga angin enam peratus (116).

Tenaga nuklear lebih popular di kalangan pembaca dengan dua pertiga daripada mereka memberikan komen yang lebih kurang seimbang sama ada menyokong atau menentang, diikuti tenaga suria, biojisim dan angin. “Semua ini pada saya menandakan bahawa terdapat perasaan yang bercampur aduk untuk memilih sumber tenaga yang terbaik dan ia juga mengesahkan bahawa kita masih perlu mendalami lagi perkara ini sebelum membuat apa-apa keputusan tentang tenaga nuklear.

“Semua opsyen untuk menjana elektrik angin akan diterokai baik daripada tenaga biojisim mahu pun tenaga angin,” kata beliau dalam laman blognya. Najib berkata, satu Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Diperbaharui kini sedang digubal oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini. “Jika dapatan kita betul, sekurang-kurangnya 52,000 pekerjaan dapat diwujudkan dan pelbagai jenis perniagaan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion dapat dijana daripada sektor tenaga boleh diperbaharui ini menjelang 2020, menurut kata pakar,” katanya.

Najib juga berharap, rakyat akan terus memberikan maklum balas berhubung sumber tenaga alternatif negara, termasuk berkongsi pertanyaan dan kebimbangan bersama beliau dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui. “Masa depan tenaga kita adalah satu perdebatan yang penting dan dengan bantuan anda, saya yakin kita mampu membina Malaysia yang lebih bersih dan hijau,” katanya.

POTENSI BIOFUEL

Para analisis dan ahli akademik dalam bidang sumber tenaga telah beralih arah ke satu bentuk penyelesaian yang bersifat kesinambungan iaitu ke arah sumber tenaga alternatif yang boleh diproses semula. Antara jenis sumber tenaga boleh dijana semula ialah angin, ombok, nuklear dan biofuel.

50 tahun dahulu, pakar industri tidak pernah memandang serius akan potensi tumbuhan untuk menjana tenaga secara besar-besaran. Oleh kerana masyarakat dunia sedang menghadapi ancaman kehabisan sumber tenaga bahan api fosil, sejajar dengan pertumbuhan bidang bioteknologi, potensi biofuel sebagai sumber tenaga alternatif yntuk mengimbangi krisis tenaga dunia berada di tahap yang memberangsangkan. Tidak kurang juga negara kita yang turut mencuri peluang yang ada bagi mengetengahkan kelapa sawit sebagai bahan api alternatif. Kerajaan dan badan-badan swasta sedang giat melakukan penyelidikan untuk membangunkan potensi kelapa sawit sebagai sumber bahan api alternatif untuk kegunaan dalam dan luar negara. Pakar industri dari Barat menyedari hakikat Malaysia sebagai potensi besar untuk menerajui perkembangan industri biofuel dunia dalam kelapa sawit dan ini bakal menggugat beberapa sektor penting dalam industri tenaga sehinggakan mereka sanggup melakukan propaganda untuk memburukkan industri minyak sawit negara yang menyatakan penebangan hutan yang berleluasa sehingga mampu menggugat habitat Orang Utan. Propaganda sebegini yang lebih dikenali sebagai green washing tidak lain tidak bukan hanyalah untuk melindungi kepentingan industri lain yang sedang mereka terokai.

PENGGUNAAN TENAGA MEMARAKKAN PERUBAHAN CUACA

Penggunaan  tenaga dan banyak  lagi sumber penting lain mengganggu gugat keadaan cuaca dan menjejaskan  kehidupan di muka bumi. Demikian menurut laporan terbaru Worldwatch Institute, Vital Signs 2007-2008.

"Kita perlu segera memeriksa penggunaan tenaga dan sumber-sumber lain yang menyumbang  kepada krisis iklim, dan ia harus dimulai dengan pencemar terbesar , Amerika Syarikat, yang menyumbang kira-kira 21% daripada  pelepasan  karbon  melalui pembakaran bahan api pada tahun 2005," kata Erik Assadourian, Pengarah Vital Signs Project.

Dengan jumlah penduduk  dunia sebanyak 7 bilion dan semakin bertambah, khidmat ekosistem yang hidupan bergantung kepadanya semakin terjejas berikutan penggunaan yang berleluasa.

Pada tahun 2006, dunia menggunakan 3.9 bilion tan minyak. Penggunaan bahan bakar pada  tahun 2005 mengeluarkan 7.6 bilion tan karbon, dan kepekatan karbon dioksida mencapai  380 bahagian per juta.

Keinginan penduduk dunia yang semakin bertambah, iaitu daripada kegunaan harian seperti tekur hinggalah kepada barangan pengguna yang besar seperti kenderaan, membantu perubahan cuaca dunia, yang sebaliknya mengancam kehidupan  organisma di darat dan di laut.

Kini dunia semakin kerap mengalami bencana yang dikaitkan dengan cuaca berbanding dalam tempoh tiga tahun lepas. Hampir 100 juta penduduk terjejas kerananya.

MASALAH TENAGA DUNIA

Melangkah ke abad yang baru memberi seribu satu cabaran yang perlu ditangani oleh penduduk dunia. Antara yang paling getir ialah krisis tenaga. Sejak bermulanya Revolusi Industri di Britain pada abad ke- 18 hinggalah ke hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas, dan arang.

Ketiga-tiga sumber ini dikategorikan sebagai non-renewable energy ataupun bahan api yang tidak boleh digunakan semula. Oleh kerana sifat bahan api ini sangat terhad dan tidak boleh dicipta dengan mudah,percaturan isu sumbur tenaga dunia sangat bergantung ke atas bahan api fosil ini. Jelas ini memberi impak yang cukup besar ke atas ekonomi, sosial dan politik dunia.

Teori kemuncak Penggunaan Minyak(Peak Oil Theory) yang dipelopori oleh  M. King Hubbert, seorang geosaintis dari Shell pada tahun 1956 merupakan satu kajian empirikal yang dijalankan oleh beberapa ahli akademik barat berkenaan tempoh di mana penggunaan sumber minyak dunia akan berada di kemuncaknya. Terbukti teori ini dapat menggambarkan sebahagian besar realiti yang industri tenaga sedang hadapi pada waktu ini di mana kesukaran untuk menggali lebih banyak mula dirasai oleh syarikat-syarikat minyak gergasi seperti BP, Shell dan Exxon.

Oleh kerana  kadar penemuan lapangan minyak yang baru semakin rendah dan penemuan lapangan minyak yang baru ini, kebanyakannya dipakejkan dengan risiko yang tinggi seperti masalah geopolitik seperti di Iraq dan tidak kurang juga cabaran geofizik seperti menerokai telaga minyak di laut dalam dan kawasan sejuk yang melampau seperti di Artik. Ini semua telah memberi satu momentum yang cukup kuat kepada naik turunnya harga minyak dunia yang bersandarkan kuasa pasaran yang berasaskan pengeluaran dan permintaan (supply and demand)

SIAPA GUNA PALING BANYAK TENAGA DI DUNIA?

Negara-negara maju menggunakan paling banyak sumber tenaga di dunia. Yang paling buruk ialah Kanada, diikuti oleh Amerika Syarikat. Negara-negara ini menggunakan kira-kira 3 hingga 4 kali jumlah tenaga daripada yang digunakan di Malaysia.

Sebaliknya, Malaysia menggunakan antara 2 hingga 7 kali ganda tenaga yang digunakan di China dan India.

Negara-negara yang menggunakan banyak tenaga menimbulkan bermacam-macam masalah kepada alam sekitar. Ia bertanggungjawab terhadap pencemaran alam sekitar dan pelepasan  gas-gas yang menyebabkan perubahan cuaca.

Negara-negara ini juga akan menghadapi pelbagai masalah apabila  harga minyak naik. Harga minyak  telah naik daripada US$24 setong  kepada US$130 setong dalam tempoh enam tahun - kenaikan sebanyak 550%