KECEKAPAN TENAGA



Kecekapan tenaga merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana. Sebagai pengguna, amalan kecekapan tenaga boleh mengurangkan perbelanjaan, menjimatkan kos sara hidup dan mengelakkan pembaziran.

Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga.Program pelabelan cekap tenaga ini bertujuan untuk mengalakkan industri untuk menghasilkan barang elektrik yang menjimatkan tenaga.

Selain itu, sesebuah syarikat barang elektrik juga mempunyai kelebihan dari segi persaingan kerana barang mereka mempunyai label yang menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan tenaga elektrik.




Label cekap tenaga ini bertujuan memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap barang elektrik yang cekap tenaga.Bintang pada label cekap tenaga ini menunjukkan kecekapan barang elektrik tersebut dalam  menjimatkan tenaga.

Label yang mempunyai  taraf 1 bintang menunjukkan barang elektrik tersebut mempunyai kecekapan tenaga  yang rendah dan taraf 5 bintang menunjukkan barang tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang paling tinggi.

Setakat ini label tersebut boleh didapati pada barang elektrik tertentu seperti peti sejuk, pendingin hawa, televisyen dan kipas angin.Pengguna boleh membuat pilihan dengan melihat kepada taraf bintang pada barang elektrik tersebut. Label ini juga boleh membantu pengguna  membuat perbandingan antara satu barang dengan barang yang lain.

Pengiraan kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk ditentukan melalui kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga.

Proses pengujian tersebut dijalankan oleh pihak SIRIM. Sekiranya pengujian tersebut lulus, maka Suruhanjaya Tenaga akan memberi pengiktirafan label kecekapan tenaga berdasarkan  taraf 1 hingga 5 bintang.Standard adalah satu panduan yang mengariskan ciri-ciri keselamatan dan kualiti bagi sesuatu barang dan perkhidmatan.

Di Malaysia, satu jawatankuasa teknikal Performance of Household and Similar Electrical Appliances telah ditubuhkan bertujuan membangunkan standard berkaitan dengan kecekapan tenaga. Standard ini bertujuan menghasilkan barangan elektrik bagi kegunaan isi rumah yang cekap tenaga. Dokumen MS (Malaysian Standard) yang sedang dibangunkan ini akan membantu industri dan pengeluar untuk mematuhi ciri-ciri dan kriteria tertentu yang ditetapkan.


 
PELABELAN   KECEKAPAN  TENAGA: SISTEM KADARAN BINTANG DAN LABEL

Pelabelan Kecekapan Tenaga merupakan suatu alat penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penggunaan tenaga bagi alat elektrik di rumah. Label kecekapan tenaga dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga kepada pengilang alat elektrik untuk dan mempromosikan alat eletrik cekap tenaga dalam pasaran. Pengilang perlu mematuhi piawaian dan syarat ujian prestasi tenaga yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk kadaran bintang ini sebelum kelulusan diberikan untuk setiap model yang di keluarkan.

Label kecekapan tenaga ini memberi maklumat kepada pengguna tentang penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik. Label kadaran tenaga atau energy rating label menunjukkan anggaran penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik berdasarkan sistem kadaran kecekapan tenaga. Kadaran 1 hingga 5 ditunjukkan dalam label bermakna 1-bintang adalah yang paling kurang cekap dan 5-bintang adalah yang paling cekap.

Label ini mengandungi anggaran jumlah penggunaan tenaga tahunan dalam kilowatt-jam bagi setiap alat elektrik, berdasarkan keputusan ujian makmal yang diiktiraf. Maklumat yang disediakan akan membantu pengguna untuk memilih model yang paling cekap tenaga semasa membuat pembelian peralatan elektrik. Penggunaan peralatan elektrik 5-Bintang akan mengurangkan penggunaan elektrik dan bil elektrik di rumah. Ini secara langsung akan menghasilkan pendapatan isi rumah boleh guna atau disposable household income yang lebih tinggi terutamanya dalam jangka masa yang panjang yang akan meningkatkan kualiti kehidupan. 

Alat eletrik yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi Kadaran Bintang kecekapan tenaga ialah peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas yang digunakan di rumah. Senarai produk ini boleh didapati di laman web www.st.gov.my dan www.saveenergy.gov.my.


 PROGRAM KECEKAPAN TENAGA 1


Bangunan LEO (Low Energy Office) di Putrajaya telah mula didiami sejak tahun 2004. Sejak itu pengurusan tenaga bangunan telah dilaksanakan. Indeks penggunaan tenaga (building energy index) pada tahun 2005 ialah 114 kWj/m2/tahun tetapi indeks tersebut telah menurun kepada 104 kWj / m2 / tahun pada tahun 2006. Audit tenaga telah dilaksanakan ke atas Bangunan Blok E6, Kementerian Kesihatan dan Bangunan Blok B6, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Audit tersebut menunjukkan bahawa indeks tenaga di bangunan LEO lebih rendah dari bangunan konvensional.

Demi berkongsi pengalaman mengenai Bangunan LEO dan pengurusan kecekapan tenaga, KTAK telah menganjurkan dua (2) seminar, iaitu Seminar on Energy Efficiency in Buildings - How To Achieve Immediate Savings di Kuala Lumpur dan KTAK Low Energy Office: Lessons Learnt di Putrajaya. Seminar on Energy Efficiency in Buildings disasarkan untuk agensi dan jabatan Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemilik dan penyelenggara bangunan serta badan profesional dalam industri tenaga. Seramai 200 peserta telah menghadiri Seminar tersebut. Seminar KTAK Low Energy Office: Lessons Learnt pula dihadiri 300 orang peserta yang terdiri daripada agensi Kerajaan dan sektor swasta.

Dengan adanya program-program kesedaran sedemikian, KTAK berharap dapat meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di kalangan anggota masyarakat. Aktiviti-aktiviti lain yang terus dilaksanakan di bawah projek ini adalah seperti memantau indeks penggunaan tenaga secara bulanan, menerima kunjungan pelawat serta menyampaikan taklimat mengenai Bangunan LEO dan menyediakan risalah mengenai Bangunan LEO. Bangunan LEO KTAK juga telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Energy Efficient Building Best Practices Peringkat ASEAN Tahun 2006 di bawah kategori “bangunan baru dan telah sedia ada.” Anugerah tersebut telah disampaikan dalam satu majlis khas yang telah diatur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-24 di Vientiane, Lao PDR. Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi telah menerima anugerah tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia.



 PROGRAM KECEKAPAN TENAGA 2


Pertamanya, industri yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak diberikan diskaun. Ini akan menggalakkan pembaziran kerana ia adalah labih murah untuk membazir daripada menjadi cekap tenaga. Industri yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama memaksimakan pengeluaran patut diberi ganjaran, kerana penggunaan tenaga per produk telah dikurangkan. Industri-industri yang melakukan kecekapan tenaga ‘sebenar’ melalui penyelesaian kejuruteraan patut digalakkan. Penguatkuasaan faktor Kuasa (Power Factor) patut dilaksanakan dengan tunjuk ajar yang sewajarnya dengan mengalakkan penggunaan kapasitor (capacitor bank) kepada pengguna industri dan komersil.

Keduanya, pelabelan kecekapan tenaga untuk barangan elektrik dan elektronik  masih kurang memuaskan. Sehingga kini, label ini hanya digunakan untuk peti sejuk bagi pengguna domestik, dan Motor Kecekapan Tinggi (High Efficiency Motors-HEM) bagi pengguna industri. Bagaimana dengan yang lain? Pelabelan dan penguatkuasaan adalah penting untuk memastikan pengguna memilih barangan yang betul untuk cekap dalam penggunaan elektrik.

Ketiganya, penggabungan sektor tenaga secara keseluruhan. Terlalu ramai agensi yang terlibat dalam industri ini. Satu agensi pusat sepatutnya berfungsi untuk sumber, penjanaan, bekalan dan harga. Agensi ini sepatutnya bekerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat supaya ia dapat berfungsi dengan berkesan serta elakkan agensi yang berfungsi sendiri (stand alone).

Keempatnya, pencarian sumber-sumber baru untuk tenaga adalah focus utama negara. Tiada halatuju yang konkrit untuk memastikan kecekapan tanaga di setiap peringkat. Sebagai contoh, adakah semua stim yang dihasilkan di loji-loji penjanaan digunakan sepenuhnya? Penggunaan sebegini memastikan kehilangan semasa proses penukaran tenaga dapat dikurangkan. Kita sepatutnya mempunyai loji-loji yang diintegrasikan supaya stim lebihan digunakan untuk proses-proses industri yang lain. Ini telahpun digunakan di kebanyakan negara beberapa tahun yang dahulu untuk memaksimumkan penggunaan sumber tenaga. Kecekapan boleh ditempatkan dalam produk melalui inovasi.

Walaupun permintaan tenaga dapat dibekalkan ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi melalui pelbagai cara. Tiada seorang pun yang akan bersetuju bahawa bekalan ini adalah untuk dibazirkan. Kita tiada dapat lihat analisis kos yang wajar kerana kita membeli untuk membazir. Kami memohon pihak kerajaan mengatasi masalah kecekapan tenaga sebelum menyelesaikan masalah krisis tenaga yang dijangka.
 


UCAPAN FORUM KECEKAPAN TENAGA PERINGKAT NEGERI SABAH 2011


Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Tuan-Tuan, Puan-Puan serta seluruh peserta Forum Kecekapan Tenaga Peringkat Negeri Sabah 2011 yang diadakan pada hari ini. Saya juga ingin merakam ucapan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga yang bersama-sama dengan Kementerian saya dalam menganjurkan forum ini. Penganjuran forum ini adalah merupakan satu platform yang baik kepada pengguna-pengguna industri dan wakil-wakil masyarakat di Sabah untuk mendapat pendedahan mengenai amalan kecekapan tenaga yang harus diterapkan dalam urusan seharian.

2. Bersempena dengan penganjuran forum ini, saya turut difahamkan bahawa kanun grid negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 4 April 2011 akan turut dilancarkan. Kanun grid ini adalah merupakan satu dokumen teknikal yang bertujuan untuk memastikan sistem grid dan pengagihan dibangunkan dan dioperasikan dengan sistematik dan teratur sekali gus meningkatkan kecekapan sistem pembekalan elektrik. Langkah ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin akan keperluan untuk memastikan sistem pembekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut tidak ketinggalan untuk ditambah baik dan ditingkatkan. Dengan adanya kanun grid ini, sistem pembekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan lebih bersedia untuk menghadapi situasi semasa dan masa depan yang lebih mencabar. Dalam hal ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga yang telah berjaya menghasilkan kanun grid ini.

Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

3. Tenaga merupakan aspek penting dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara. Atas faktor ini, keperluan tenaga dunia yang diunjurkan oleh International Energy Agency (IEA) akan meningkat sebanyak 36% di antara tahun 2008 dan tahun 2035. Keadaan sebegini akan menjadikan pasaran tenaga global tidak menentu dan semakin kompetitif pada masa hadapan. Walaupun kita amat bertuah kerana negara kita dikurniakan dengan sumber-sumber tenaga semula jadi seperti minyak dan gas asli, tetapi kita juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi berkenaan sekiranya sumber-sumber tersebut tidak diuruskan dengan baik. Sumber-sumber semula jadi tersebut dijangkakan semakin menyusut dan peningkatan kebergantungan kepada sumber-sumber tersebut secara berterusan memerlukan kita untuk mengimportnya dari luar negara.

4. Kebanyakan sumber penjanaan elektrik di negara kita adalah berasaskan kepada sumber-sumber bahan api fosil. Dalam konteks negeri Sabah, penjanaan elektrik pada tahun 2010 mengguna pakai 50.1% bahan api gas, 40.5% berasaskan diesel dan medium fuel oil (MFO), 6.5% adalah daripada sumber hidro dan selebihnya adalah dari sumber tenaga boleh baharu. Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil dengan sumbernya diimport akan memberikan satu cabaran kepada jaminan keselamatan tenaga atau energy security. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu dirangka mulai sekarang dalam memastikan kita dapat menghadapi pasaran tenaga yang semakin kompetitif pada masa hadapan dengan memastikan energy security yang sentiasa berterusan.

5. Di samping energy security yang merupakan agenda utama Kerajaan dalam memastikan pembekalan elektrik negara yang mapan, aspek alam sekitar turut diberi penekanan yang serius. Sektor industri dan penjanaan elektrik mewakili sekitar dua pertiga (2/3) daripada global energy-related carbon dioxide (CO2) emission dan memainkan peranan penting dalam menangani isu perubahan iklim ekoran daripada fenomena pemanasan global atau global warming. Fenomena ini adalah satu keadaan di mana alam sekitar mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding dengan suhu normal. Peningkatan suhu ini kemudiannya boleh menyebabkan berlakunya pelbagai kesan buruk kepada dunia seperti banjir, kemarau, krisis makanan dan sebagainya.

6. Keprihatinan dan keseriusan Kerajaan dalam membantu menangani fenomena tersebut telah dizahirkan melalui komitmen yang dibuat oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada United Nations Climate Change Conference 2009 (COP15) di Copenhagen, Denmark. Malaysia komited secara sukarela untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) – emission intensity of GDP sehingga 40% menjelang tahun 2020 berbanding tahap pada tahun 2005. Komitmen tersebut bukan sahaja perlu digalas oleh pihak Kerajaan malah semua pihak seharusnya berganding bahu dan bekerjasama untuk mengambil inisiatif-inisiatif tertentu ke arah merealisasikan komitmen tersebut.

Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

7. Pelbagai dasar telah digubal oleh Kerajaan dalam memastikan kemapanan sektor pembekalan elektrik negara termasuklah di negeri Sabah. Antara aspek penting yang dititik beratkan adalah kecekapan tenaga atau pun energy efficiency yang mana telah ditekankan sejak pengenalan Dasar Tenaga Negara 1979 lagi. Dasar ini telah menggariskan tiga (3) objektif utama yang mana salah satu daripadanya adalah untuk mempromosikan penggunaan tenaga dengan cekap serta mengelakkan pembaziran dan penggunaan tenaga yang tidak produktif. Objektif dasar ini adalah penting dalam membantu usaha ke arah memastikan sumber-sumber tenaga kita dipelihara dan diuruskan dengan baik untuk kemapanan masa hadapan. Secara tidak langsung, ia akan dapat membantu memastikan jaminan energy security yang berterusan di negara ini serta menyumbang kepada usaha menangani fenomena pemanasan global.

8. Dalam hal ini, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan langkah untuk menggalakkan lagi penggunaan tenaga secara cekap sama ada di sektor industri, bangunan, domestik dan sebagainya. Sebagai contoh, insentif fiskal bagi menggalakkan amalan kecekapan tenaga telah mula diperkenalkan sejak tahun 2001 lagi dan disemak dari tahun ke tahun bagi memastikan ianya lebih menarik. Di bawah insentif fiskal tersebut, pihak yang membekalkan dan menggunakan perkhidmatan kecekapan tenaga serta mematuhi kriteria-kriteria kelayakan yang ditetapkan akan dapat menikmati pengecualian Duti Import dan Cukai Jualan, Pioneer Status (PS) dan Investment Tax Allowance (ITA). Peluang sebegini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua pihak terutamanya pihak industri kerana ia dapat membantu mengurangkan kos operasi. Pengurangan kos operasi sedemikian, kemudiannya akan dapat meningkatkan lagi daya saing oleh industri terlibat dalam pasaran yang kian kompetitif kini.

9. Dalam pada itu, pihak Kerajaan melalui Kementerian saya juga sedang dalam peringkat akhir menggubal Pelan Induk Kecekapan Tenaga Negara. Pelan induk ini akan menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga dengan cekap di negara ini, dan dijangka akan menghasilkan impak yang lebih besar. Beberapa inisiatif kecekapan tenaga telah dikenal pasti dan digariskan di bawah pelan induk ini yang merangkumi sektor industri, bangunan/komersil dan domestik. Sukacita ingin saya maklumkan di sini bahawa pelan induk tersebut juga telah dinilai oleh pakar-pakar kecekapan tenaga daripada negara-negara Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) dan pandangan yang positif telah diterima daripada mereka. Dengan adanya pelan induk tersebut kelak, saya yakin bahawa pelaksanaan kecekapan tenaga di negara ini akan dapat ditingkatkan dan ditambah baik ke arah membantu penggunaan dan pengurusan sumber tenaga secara cekap dan mapan setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.
Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

10. Setiap di antara kita yang ada di sini pada hari ini, pasti mempunyai rumah kediaman yang mana dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektrik. Namun, tidak ramai di antara kita yang menyedari bahawa kos penggunaan elektrik bagi sesuatu peralatan elektrik sepanjang tempoh hayatnya biasanya melebihi kos pembelian peralatan tersebut. Hal ini telah menyebabkan kita untuk menggunakan peralatan elektrik yang tidak cekap tenaga berbanding peralatan elektrik cekap tenaga kerana harganya yang lebih murah. Sedangkan penggunaan peralatan elektrik yang cekap tenaga walaupun harganya lebih mahal tetapi ia lebih menjimatkan sepanjang  hayat penggunaannya iaitu untuk jangka panjang dan penjimatannya melebihi kos pembeliannya.

11. Sebagai contoh, penggunaan lampu kebiasaannya akan menyumbang kepada 10% atau kurang bagi keseluruhan jumlah bil elektrik. Kos ini boleh dikurangkan dengan penggunaan lampu cekap tenaga dan dianggarkan pengguna-pengguna akan dapat menjimatkan sebanyak RM336 juta setahun dalam penggunaan elektrik negara. Terdapat beberapa jenis lampu cekap tenaga yang boleh diguna pakai, antaranya ialah lampu Compact Flourescent Light (CFL), lampu flourescent tube T5, lampu Light Emitting Diode (LED) dan sebagainya. Lampu Compact Flourescent Light (CFL) umpamanya, akan menggunakan hanya 20% tenaga elektrik bagi menghasilkan pencahayaan yang sepadan. Selain itu, jangka hayatnya juga adalah lapan (8) kali lebih lama daripada lampu mentol biasa.

12. Dalam usaha pihak Kerajaan untuk memastikan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga dengan lebih meluas, Peraturan-Peraturan Pembekalan Elektrik 1994 sedang disemak semula untuk menguatkuasakan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga di negara ini. Antara aspek pelaksanaan yang dirancang untuk dimulakan adalah, menghentikan penggunaan lampu pijar yang tidak cekap tenaga secara berperingkat-peringkat di negara ini untuk tempoh sehingga Disember 2013. Selain daripada Malaysia, langkah yang sama turut dilaksanakan oleh beberapa negara lain dan pelaksanaannya akan dapat mencegah negara kita dijadikan sebagai lokasi bagi lambakan lampu pijar kelak. Di samping itu, penggunaan lampu yang lebih cekap tenaga bagi menggantikan lampu pijar juga dijangkakan dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di negara ini sebanyak 1074 gigaWatt-jam setahun iaitu bersamaan dengan penjimatan 1% keperluan bekalan elektrik negara. Ia juga akan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 732,000 tan karbon dioksida setahun.

Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

13. Selain daripada penggunaan lampu, kecekapan peralatan elektrik lain yang diguna pakai di rumah seperti peti sejuk, penyaman udara, televisyen, kipas, mesin basuh, pemanas air dan sebagainya juga boleh membantu kita dalam memperoleh penjimatan dalam bil elektrik bulanan. Pihak Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan sistem penarafan atau rating system untuk peralatan elektrik di Malaysia bagi membantu pengguna untuk membuat pemilihan peralatan elektrik yang sesuai di rumah. Di bawah sistem pelabelan ini, sesuatu peralatan elektrik akan diuji berpandukan Minimum Energy Performance Standard (MEPS) untuk menentukan penggunaan elektriknya sebelum ia dikategorikan sebagai peralatan elektrik bertaraf 1, 2, 3, 4 atau 5 bintang. Sehingga kini, empat (4) peralatan elektrik yang biasa digunakan di rumah telah dilabelkan iaitu peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas.

14. Aspek kecekapan tenaga turut didokong dalam National Key Economic Areas (NKEA) melalui Entry Point Project 9 (EPP9) iaitu meningkatkan kecekapan tenaga. Di bawah EPP9 tersebut, strategi untuk meningkatkan kecekapan tenaga akan dilaksanakan yang antaranya melibatkan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency atau dikenali sebagai Program SAVE. Program SAVE ini dijangka akan dilancarkan pada 7 Julai 2011 dan merupakan satu program khas yang akan diterajui oleh Kementerian saya dengan mensasarkan penjimatan tenaga bagi tempoh jangka masa singkat dan panjang. Pada peringkat awal, program SAVE akan melibatkan pelaksanaan inisiatif new appliances yang memperkenalkan prinsip pemberian rebat kepada pengguna untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga bertaraf lima (5) bintang iaitu peti sejuk dan penghawa dingin bagi sektor domestik serta chillers untuk sektor komersil.

15. Selain daripada peralihan kepada penggunaan peralatan elektrik yang cekap tenaga, amalan cekap tenaga juga seharusnya dipupuk dan dibudayakan di kalangan masyarakat kita. Pengamalan budaya cekap tenaga ini tidak memerlukan perbelanjaan wang malah hanya memerlukan kesedaran di kalangan kita supaya menghindari pembaziran tenaga. Contohnya, kita seharusnya memadamkan lampu apabila meninggalkan bilik atau rumah atau pun memadamkan lampu di waktu siang hari sekiranya cahaya semula jadi sudah mencukupi. Amalan sebegini kadang-kala dianggap mudah sehinggakan kita tidak mempedulikan kerana beranggapan impaknya yang kecil. Akan tetapi, jika kita semua bersama-sama mengamalkannya, ia akan membuahkan hasil yang amat besar sekali kepada industri pembekalan elektrik negara. Seperti kata pepatah Melayu, “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”.

16. Saya berharap forum yang diadakan pada hari ini akan dapat memberi manfaat dan faedah yang berguna kepada semua pihak yang terlibat. Pada masa yang sama juga, saya berharap agar ia tidak hanya berakhir di sini, malah, lebih banyak forum atau seminar seumpamanya dapat dianjurkan pada masa hadapan dan kemungkinan ia boleh diperluaskan lagi ke seluruh negeri Sabah.

17. Dengan ini, sukacitanya saya merasmikan Forum Kecekapan Tenaga Peringkat Negeri Sabah 2011.

Sekian terima kasih.