PELABURAN DALAM TENAGA BERSIH DUNIA MENCECAH AS$240 BILION PADA 2011

Menurut laporan agensi berita Reuters, Brazil, China dan India telah membuat keputusan untuk melabur dalam teknologi tenaga bersih pada tahun 2011. Jumlah pelaburan dijangka akan mencapai USD 240 Billion. Laporan berita ini jelas menunjukkan tiga negara yang paling pesat membangun ini sedang menggandakan usaha mereka dalam teknologi tenaga bersih. Namun begitu, Amerika Syarikat yang merupakan negara yang paling kaya di dunia, masih terus berdiam diri.

Walau bagaimanapun, laporan ini merupakan sesuatu yang memberangsangkan kerana pelaburan tersebut telah jauh melepasi angka pelaburan yang telah dilakukan dalam tahun-tahun yang lepas. Dengan adanya perintis-perintis yang memulakan pelaburan seperti ini, negara-negara lain juga akan mengikuti langkah meraka dalam masa yang akan datang.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) melaporkan bahawa pelaburan dalam teknologi tenaga yang boleh diperbaharui mencatatkan angka sebanyak AS$180-200 bilion pada tahun 2010, berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu pada AS$162 bilion. Kebanyakan jumlah pelaburan ini berasal daripada tiga negara tersebut. Oleh itu, sikap tidak aktif Amerika Syarikat dalam pelaburan tenaga bersih ini bukanlah sesuatu perkara yang baru.

Timbul persoalan apakah yang menjadi pendorong kepada pelaburan besar-besaran dalam tenaga bersih ini. Jawapannya ialah kenaikan harga minyak. Peningkatan pelaburan dalam tenaga bersih ini kerana ia merupakan tenaga yang lestari dan boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan angin. Tenaga-tenaga bersih ini juga tidak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang teruk, seperti yang disebabkan oleh tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Walaupun jumlah pelaburan yang dikeluarkan oleh tiga buah negara itu adalah besar, namun UNEP masih menekankan bahawa lebih banyak lagi pelaburan diperlukan. Pertubuhan ini mengatakan bahawa untuk bertukar kepada tenaga bersih sedunia, sebanyak  AS$360 bilion setahun. Dengan jumlah pelaburan yang ada sekarang, dijangka matlamat ini akan dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi. Sekiranya Amerika Syarikat sedia untuk menghulurkan bantuannya, maka tempoh itu akan dapat dipercepatkan lagi.

No comments:

Post a Comment