E-PENGGUNA




Blog  ini  bertujuan  memberi pendedahan  tentang  penggunaan  tenaga yang boleh diperbaharui. Selaras dengan matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (OPP3) (2001-2010) dan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) untuk mengalak dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharu (RE), maka Kerajaan telah merangka beberapa strategi bagi memantap dan membangunkan penggunaan RE sebagai sumber tenaga kelima (5) negara.

Bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), Kerajaan telah menetapkan sasaran penjanaan tenaga elektrik secara gridconnected menggunakan sumber- sumber RE seperti seperti biomass, biogas, mini-hidro, angin, solar dan municipal waste pada kapasiti 350MW iaitu melibatkan 300MW di Semenanjung Malaysia dan 50MW di Sabah. Kerajaan sentiasa komited untuk mempastikan kejayaan pembangunan RE di Malaysia khususnya melalui pelaksanaan program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (Small Renewable Energy Programme - SREP) yang diperkenalkan pada tahun 2001.


Potensi RE ini adalah sangat besar, terutamanya tenaga biomass di mana sumber-sumber biomass ini merupakan hasil tanaman sendiri dan pada umumnya tidak didagangkan. Potensi untuk projek mini hidro terutama jenis “run-of-the-river” juga adalah amat besar kerana tenaga yang diperolehi daripada sungai-sungai di negara ini telah terbukti dapat menyalurkan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan pedalaman. Tenaga suria juga merupakan satu lagi sumber RE yang sedia ada, kerana kedudukan geografi Malaysia di garisan Khatulistiwa. Berdasarkan potensi yang tinggi ini, Kerajaan Malaysia menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui yang juga merupakan sumber mesra alam. 


Kerajaan telah mendokumentasikan polisi berkenaan RE di dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan (RMK8 & RMK9) dan juga “Third Outline Perspective Plan” (OPP3). Integrasi RE sebagai bahanapi kelima negara menyokong polisi ini dan menggalakkan kelancaran pelaksanaan fizikal projek-projek RE. Teras utama polisi berkenaan adalah untuk menambah pecahan jenis tenaga negara dengan mangambilkira sumbangan RE dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber fosil yang semakin kehabisan.

Kerajaan juga telah memperkenalkan insentif fiskal di dalam bentuk Taraf Perintis (Pioneer Status) atau Elaun Cukai Pendapatan (Income Tax Allowance) serta pelepasan cukai untuk peralatan RE sebagai pendorong pertumbuhan aktiviti-aktiviti berkenaan RE, khususnya untuk menggalakkan penjanaan elektrik berasaskan sumber-sumber biomass, hidro dan tenaga suria. Insentif berkenaan mula diperkenalkan menerusi Bajet  2001 dan seterusnya ditambahbaik saban tahun. Permohonan insentif fiskal ini hendaklah dikemukakan kepada MIDA.


 Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan bertujuan menarik minat pemaju-pemaju projek RE untuk melibatkan diri secara aktif dalam sektor ini seperti penubuhan infrastruktur untuk pembangunan RE, merangka program-program bagi pembangunan industri & pasaran RE dan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif.

Selain itu, juga terdapat maklumat tentang kecekepan tenaga. Kecekapan tenaga merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana. Sebagai pengguna, amalan kecekapan tenaga boleh mengurangkan perbelanjaan, menjimatkan kos sara hidup dan mengelakkan pembaziran.

Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga.Program pelabelan cekap tenaga ini bertujuan untuk mengalakkan industri untuk menghasilkan barang elektrik yang menjimatkan tenaga.

Selain itu, sesebuah syarikat barang elektrik juga mempunyai kelebihan dari segi persaingan kerana barang mereka mempunyai label yang menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan tenaga elektrik.
Dari segi penjimatan tenaga pula, Penjimatan tenaga adalah  perbuatan atau hal menjimatkantenaga. Ia berkaitan dengan perihal berjimat atau menjimatkan penggunaan sesuatu .Ini dicapai melalui penggunaan tenaga secara cekap, seperti memadamkan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak diperlukan, menggunakan cahaya matahari dan lain-lain.

Kami  berharap agar blog ini dapat  memberikan  seberapa ilmu ataupun input tentang isu penggunaan  tenaga yang boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga. Jikalau  terdapat apa-apa kesalahan atau kesilapan, kami memohon maaf atas  kesilapan tersebut. Sekian terima kasih. Salam 1 Malaysia.