B5 BAHAN API ALTERNATIF

PERUBAHAN iklim dan pemanasan global yang melanda dunia mencetuskan kebimbangan banyak pihak tentang bahaya fenomena itu baik kepada bumi dan kehidupannya. Peningkatan paras air laut, gelombang haba, banjir, taufan, glasier yang cepat mencair, gempa bumi dan gangguan sistem ekologi antara simptom bahawa bumi dalam bahaya.

Di peringkat nasional, menyedari langkah drastik perlu diambil, kerajaan telah mengumumkan komitmen pengurangan secara sukarela pelepasan intensiti gas rumah hijau (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020 berdasarkan kadar pelepasan GHG pada tahun 2005.

Komitmen tersebut telah dilakukan sempena Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Salah satu inisiatif yang giat dilaksanakan untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau adalah dengan memperkenalkan program B5 dalam penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurangkan dan seterusnya menggantikan diesel petroleum. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah diberi tanggungjawab menjalankan kajian merealisasikan impian penggunaan B5 dalam menyumbang kepada persekitaran lebih bersih untuk generasi akan datang.

B5 merupakan adunan lima peratus biodiesel sawit (metil ester sawit) dan 95 peratus lagi adalah diesel petroleum. "Penggunaan adunan biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit ini adalah daripada sumber boleh diperbaharui dan menyumbang kepada pengurangan lebih 50 peratus pelepasan GHG ke udara berbanding bahan api diesel petroleum.

"Dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau ini, ia sekali gus dapat mengurangkan impak terhadap persekitaran dan menjadikannya lebih bersih," kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May ketika ditemui Kosmo! baru-baru. Ia amat bertepatan dengan visi Dasar BioBahan Api Negara menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, mampan dan berdaya maju bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang semakin menyusut.

Beliau menambah, industri sangat komited terhadap usaha mengurangkan gas rumah hijau dan ia akan mempertingkatkan lagi imej minyak sawit sebagai produk mesra alam di mata dunia. Katanya lagi, pengenalan program B5 adalah inisiatif kerajaan ke arah penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG). "Sebenarnya, kajian penghasilan dan penggunaan biodiesel daripada minyak sawit bagi kenderaan diesel telah dilakukan sejak tahun 1980-an lagi yang membawa kepada pengkomersialan teknologi pengeluaran biodiesel.

No comments:

Post a Comment