PENGGUNAAN TENAGA DI MALAYSIA

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian sumber asli, yang menjadi asas penting dalam penghasilan tenaga. Selaras dengan matlamat Dasar Tenaga Negara untuk membekalkan Malaysia dengan tenaga yang mencukupi, terjamin dan murah, Kerajaan menggalakkan penglibatan pelbagai sektor dalam industri ini.

Malaysia kaya dengan sumber tenaga konvensional (tidak boleh diperbaharui) dan bukan konvensional.  Sumber tenaga konvensional terbesar yang boleh didapati di negara ini adalah petroleum. Usaha berterusan sedang giat dijalankan bagi mempelbagaikan sumber tenaga, terutamanya meneroka potensi penghasilan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui.

Di Malaysia terdapat pelbagai sumber tenaga alternatif dari bahan yang diperbaharui (renewable resources) seperti bahan sisa hutan, biojisim kelapa sawit, tenaga suria, tenaga hidro dan barang buangan. Sumber-sumber tersebut berpotensi untuk digembleng bagi menjana tenaga serta mampu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Pembekalan tenaga elektrik didominasi oleh tiga syarikat utiliti yang utama iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk Semenanjung Malaysia, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Sarawak Electricity Supply Corp. (SESCo), manakala sebahagian daripadanya turut diuruskan oleh beberapa penjanakuasa elektrik persendirian (IPPs.