UNIT PAMERAN BERGERAK


Dalam usaha untuk memberikan pendedahan yang lebih jelas kepada masyarakat , Unit Pameran Bergerak menggunakan Van dan Bas Mini Teknologi Hijau, kenderaan yang mengaplikasikan penggunaan teknologi hijau dalam kehidupan seharian. Kenderaan ini berkonsepkan rumah mini serta menggunakan 100% minyak masak terpakai sebagai bahan bakar selain menggunakan 100% tenaga elektrik yang dijana dari tenaga suria.

Bas Mini Teknologi Hijau ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT). Melalui unit ini, CETREE dapat menyumbangkan pengetahuan dan kemahiran mengenai Teknologi Hijau secara langsung kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di seluruh Malaysia.

Ini dapat membantu dalam usaha mempromosikan hasil kajian Teknologi Hijau kepada masyarakat. Melalui unit ini, pendekatan pembelajaran, latihan dan pemahaman dapat diaplikasi melalui pendedahan secara "hand-on" dengan menggunakan peralatan dan kit serta kelengkapan berkaitan Teknologi Hijau.
Bas Mini Teknologi Hijau





Keadaan Di Dalam Bas Mini Teknologi Hijau

B5 BAHAN API ALTERNATIF

PERUBAHAN iklim dan pemanasan global yang melanda dunia mencetuskan kebimbangan banyak pihak tentang bahaya fenomena itu baik kepada bumi dan kehidupannya. Peningkatan paras air laut, gelombang haba, banjir, taufan, glasier yang cepat mencair, gempa bumi dan gangguan sistem ekologi antara simptom bahawa bumi dalam bahaya.

Di peringkat nasional, menyedari langkah drastik perlu diambil, kerajaan telah mengumumkan komitmen pengurangan secara sukarela pelepasan intensiti gas rumah hijau (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020 berdasarkan kadar pelepasan GHG pada tahun 2005.

Komitmen tersebut telah dilakukan sempena Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Salah satu inisiatif yang giat dilaksanakan untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau adalah dengan memperkenalkan program B5 dalam penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurangkan dan seterusnya menggantikan diesel petroleum. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah diberi tanggungjawab menjalankan kajian merealisasikan impian penggunaan B5 dalam menyumbang kepada persekitaran lebih bersih untuk generasi akan datang.

B5 merupakan adunan lima peratus biodiesel sawit (metil ester sawit) dan 95 peratus lagi adalah diesel petroleum. "Penggunaan adunan biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit ini adalah daripada sumber boleh diperbaharui dan menyumbang kepada pengurangan lebih 50 peratus pelepasan GHG ke udara berbanding bahan api diesel petroleum.

"Dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau ini, ia sekali gus dapat mengurangkan impak terhadap persekitaran dan menjadikannya lebih bersih," kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May ketika ditemui Kosmo! baru-baru. Ia amat bertepatan dengan visi Dasar BioBahan Api Negara menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, mampan dan berdaya maju bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang semakin menyusut.

Beliau menambah, industri sangat komited terhadap usaha mengurangkan gas rumah hijau dan ia akan mempertingkatkan lagi imej minyak sawit sebagai produk mesra alam di mata dunia. Katanya lagi, pengenalan program B5 adalah inisiatif kerajaan ke arah penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG). "Sebenarnya, kajian penghasilan dan penggunaan biodiesel daripada minyak sawit bagi kenderaan diesel telah dilakukan sejak tahun 1980-an lagi yang membawa kepada pengkomersialan teknologi pengeluaran biodiesel.

SANDAKAN MEMBANTAH ARANG BATU

Kesan-kesan buruk akibat daripada pembakaran arang batu yang membawa maut BUKAN LAGI hanya “teori”, “andaian” atau “kepercayaan”. Kesan-kesan buruk ini TELAH DISAHKAN secara rasmi oleh Mahkamah Daerah Persekutuan Amerika Syarikat di Negeri North Carolina, dalam kes North Carolina ex rel. Cooper v. Tennessee Valley Authority (593 F.Supp.2d 812).

Pada 13 Januari 2009, Hakim Daerah Lacy H. Thornburg telah mengisytiharkan bahawa pelepasan udara daripada loji-loji arang batu TVA yang terletak di negeri-negeri Tennessee dan Alabama adalah satu “gangguan awam” (public nuisance) terhadap negeri jiran North Carolina. Ini merupakan satu “gangguan tidak munasabah” terhadap “harta, kesihatan, keselamatan, keamanan, atau kemudahan” orang awam. Mahkamah berkata bahawa loji-loji tersebut telah mengakibatkan “kecederaan, penyusahan [dan] kerosakan” secara serius di North Carolina.

Setelah mendengar bukti-bukti/keterangan pakar (expert evidence) yang dikemukakan oleh semua pihak (termasuk pihak pengurusan loji arang batu, TVA), Hakim tersebut mengisytiharkan bahawa pelepasan udara daripada loji-loji arang batu boleh mengakibatkan kesan-kesan kemusnahan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Beliau juga mengarahkan TVA supaya memasang peralatan-peralatan kawalan pencemaran di 4 buah loji arang batunya.

PEMIMPIN DUNIA PERLU KOMITED UNTUK JAYAKAN SUMBER TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, biojisim dan tenaga hidro boleh mencapai hampir 80% permintaan bekalan tenaga dunia pada tahun 2050 jika pemimpin dunia merangka polisi untuk memanfaatkan potensi mereka. Demikian  menurut satu laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hasil kajian ini merupakan usaha bersama seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC). Mereka juga mengatakan bahawa sekiranya hala tuju tenaga yang boleh diperbaharui dipatuhi sepenuhnya, maka pelepasan gas rumah hijau akan berkurangan. Ini menyebabkan suhu dunia tidak naik melepasi paras 2 darjah selsius pada tahun 2050.

2 darjah selsius ini merupakan paras yang sekiranya suhu dunia naik melepasi suhu ini, maka kesan terburuk perubahan iklim akan berlaku. Pemimpin dunia juga telah bersetuju dalam perbincangan tahun lalu di Cancun, Mexico untuk mengehadkan purata kenaikan suhu dunia dalam angka tersebut.

Laporan kajian tersebut diumumkan selepas perbincangan 4 hari yang berakhir pada minggu lalu di Abu Dhabi, United Arab Emirates. Laporan ini bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pembuat dasar dan penilaian terkini terhadap potensi sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Christiana Figueres, yang merupakan Setiausaha Eksekutif kepada UNFCCC, menggambarkan laporan tersebut mempunyai signifikan dan menunjukkan hala tuju kepada para pemimpin dunia.

‘Mereka mesti mencapai matlamat mereka dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam skala yang besar,’ ujar beliau. ‘Adalah penting juga bahawa dasar negara yang bercita-cita tinggi dan kerjasama antarabangsa yang kukuh kerana semua ini merupakan kunci utama kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas di semua dunia.

Figueres juga menekankan bahawa keperluan untuk kewangan dan teknologi yang mencukupi harus dibekalkan kepada negara-negara yang lebih mundur, yang akan mengalami pertumbuhan paling pesat dalam pengeluaran tenaga dalam masa yang akan datang.

‘Negara-negara maju perlu menghasilkan satu dasar yang bersesuaian dan memberikan insentif supaya penggunaan dan pemasangan teknologi tenaga bersih boleh berkembang dengan pesat,’ tambah beliau lagi

Laporan tersebut juga menghasilkan satu ulasan yang mengandungi 160 keadaan saintifik yang berbeza berdasarkan tahap-tahap yang berlainan dalam sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, keadaan alam sekitar yang berbeza dan juga faktor sosial.

PELABURAN DALAM TENAGA BERSIH DUNIA MENCECAH AS$240 BILION PADA 2011

Menurut laporan agensi berita Reuters, Brazil, China dan India telah membuat keputusan untuk melabur dalam teknologi tenaga bersih pada tahun 2011. Jumlah pelaburan dijangka akan mencapai USD 240 Billion. Laporan berita ini jelas menunjukkan tiga negara yang paling pesat membangun ini sedang menggandakan usaha mereka dalam teknologi tenaga bersih. Namun begitu, Amerika Syarikat yang merupakan negara yang paling kaya di dunia, masih terus berdiam diri.

Walau bagaimanapun, laporan ini merupakan sesuatu yang memberangsangkan kerana pelaburan tersebut telah jauh melepasi angka pelaburan yang telah dilakukan dalam tahun-tahun yang lepas. Dengan adanya perintis-perintis yang memulakan pelaburan seperti ini, negara-negara lain juga akan mengikuti langkah meraka dalam masa yang akan datang.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) melaporkan bahawa pelaburan dalam teknologi tenaga yang boleh diperbaharui mencatatkan angka sebanyak AS$180-200 bilion pada tahun 2010, berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu pada AS$162 bilion. Kebanyakan jumlah pelaburan ini berasal daripada tiga negara tersebut. Oleh itu, sikap tidak aktif Amerika Syarikat dalam pelaburan tenaga bersih ini bukanlah sesuatu perkara yang baru.

Timbul persoalan apakah yang menjadi pendorong kepada pelaburan besar-besaran dalam tenaga bersih ini. Jawapannya ialah kenaikan harga minyak. Peningkatan pelaburan dalam tenaga bersih ini kerana ia merupakan tenaga yang lestari dan boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan angin. Tenaga-tenaga bersih ini juga tidak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang teruk, seperti yang disebabkan oleh tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Walaupun jumlah pelaburan yang dikeluarkan oleh tiga buah negara itu adalah besar, namun UNEP masih menekankan bahawa lebih banyak lagi pelaburan diperlukan. Pertubuhan ini mengatakan bahawa untuk bertukar kepada tenaga bersih sedunia, sebanyak  AS$360 bilion setahun. Dengan jumlah pelaburan yang ada sekarang, dijangka matlamat ini akan dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi. Sekiranya Amerika Syarikat sedia untuk menghulurkan bantuannya, maka tempoh itu akan dapat dipercepatkan lagi.

AMALKAN PENGGUNAAN LESTARI BAGI KURANGKAN KESAN PEMANASAN GLOBAL

Krisis alam sekitar sedang berlaku dan kita sudahpun mengalami dan kesan-kesan perubahan adalah jelas di depan mata kita. Pemanasan global, sisa buangan berbahaya, pencemaran udara dan juga kekurangan sumber adalah di antara kerisauan-kerisauan yang memuncak.

Mengikut Menteri Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas, sejak 50 tahun dahulu, purata suhu tahunan Malaysia telah meningkat sebanyak 1.1 darjah Celsius, konsisten dengan pemanasan suhu global. Kesan-kesannya merangkumi perubahan dalam corak hujan dan juga banjir kilat. Kajian-kajian yang terbaru juga menunjukkan paras laut juga sedang meningkat pada kadar 1.25mm setahun.

Karbon
Pemanasan global berlaku adalah disebabkan oleh peningkatan gas rumah hijau yang berterusan seperti gas karbon dioksida ke dalam atmosfera bumi. Banyak perbualan dan aktiviti yang berkait-rapat dengan hijau juga berkaitan dengan satu perkataan, iaitu karbon. Salah satu perkataan yang selalu diperbualkan masa kini ialah carbon footprint (CF) atau dikenali sebagai tapak kaki karbon.

Pengasas Maleki GmbH dan juga pemenang anugerah sebagai orang yang paling ‘hijau’ di dunia pada tahun 2008, Matthias Gelber menerangkan bahawa, tapak kaki karbon diterjemahkan kepada semua aktiviti kita yang memberi kesan kepada alam sekitar dan tukarkannya ke dalam satu bentuk kiraan untuk gas karbon dioksida yang kita hasilkan. Sebagai contoh, pada waktu pagi semasa memasak air dan elektrik digunakan. Elektrik yang digunakan akan muncul di dalam meter bulanan rumah dan boleh dikira.

Jadi kita cuba bertanggungjawab sebagai individu dengan mengira jumlah gas karbon dioksida yang kita sendiri hasilkan. Apabila kita memandu, gas karbon dioksida dan gas-gas lain yang dihasilkan juga diambilkira. Dengan mengambil kira semua kiraan ini, kita akan mendapat satu bentuk mata wang.

“Semasa kita cakap tentang duit, we cakap mengenai Ringgit Malaysia. Semasa kita cakap tentang kesan alam sekitar dan pemanasan global, kita cuba dan guna gas karbon dioksida sebagai mata wang – kilogram ataupun ton gas karbon dioksida. Jadi, tapak kaki karbon adalah jumlah gabungan gas karbon dioksida dalam kilogram ataupun ton dan kita perlu memikul tanggungjawab ini secara individu.” Jelas Gelber.

Nombor 40
Pada masa kini, nombor 40 merupakan nombor yang berkaitan dengan beberapa statistik hijau. Semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu 2009 (COP 15) di Copenhagen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020 berbanding dengan tahap gas karbon dioksida tahun 2005.

HADKAN PENGGUNAAN SUMBER TENAGA YANG TIDAK BOLEH DIPERBAHARUI

Cara ini adalah cara yang paling berkesan untuk mengatasi perubahan iklim. Banyak orang telah berhenti menggunakan beg plastik dan tukar kepada bag yang mesra alam. Ini merupakan cara yang positif, tetapi mengikut pakar alam sekitar, mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu, petrol dan juga gas asli adalah lebih penting. Sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui ini tidak boleh dihasilkan semula dan kesannya kepada alam sekitar adalah memudaratkan. Pada masa yang sama, sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar, hidro, ombak dan juga angina merupakan sumber yang boleh diguna semula dan mesra alam.

Masa kini, penjanaan elektrik di Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil di mana ia merangkumi 85 peratus daripada jumlah elektrik yang dijana dalam negara. Penjanaan elektrik oleh sumber tenaga yang boleh diperbaharui hanya 1 peratus.

Mengikut penasihat sumber tenaga yang boleh diperbaharui untuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Ahmad Hadri Haris, tujuan kementerian adalah untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui sebanyak 9 peratus daripada jumlah penjanaan elektrik di Malaysia menjelang tahun 2020.

Pengerusi Institusi Arkitek Malaysia Ar Dr Tan Loke Mun menerangkan bagaimana sektor hartanah boleh memainkan peranan. “Kita perlu mengambil tindakan yang cepat sedangkan kita masih mempunyai sumber tenaga seperti minyak dan juga gas asli untuk mengembangkan teknologi hijau dan juga mengaplikasikan lebih banyak sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Dengan petumbuhan populasi dan juga pembangunan, ia adalah penting untuk pembangun fikir dan bertindak untuk memastikan konsumer boleh menikmati kehidupan yang lestari dan berwawasan di era hidup yang berkos tinggi.” Ujar Tan.